Pages

Sunday, May 15, 2011

Fokus Cinta Bahagian III

CINTA : Antara Runtunan Nafsu Dan Tuntutan Syariat 

Pada awal kurun ini, masyarakat Melayu Islam telah dikejutkan dengan suatu reformasi baru yang dikemukakan oleh Agus Salem, salah seorang pengasas Syarikat Dagang Islam sekitar tahun 1911. Beliau menyarankan kepada pemuda pemudi yang terdedah dengan benih-benih pergaulan bebas yang diajar oleh penjajah ketika itu supaya bercinta sesudah berumahtangga. Fikiran ini dimahsyurkan lagi ke tengah-tengah masyarakat Melayu Islam oleh Bapa Hamka (HJ Abdul Malik Karamullah). Selepas itu, masyarakat mula mengkaji apakah yang lebih berkesan sama ada bercinta sebelum berumahtangga ataupun bercinta sesudah berumahtangga. Suatu perkara yang sudah pasti, bercinta dan berkasih sayang adalah suatu yang teramat penting sesudah berumahtangga kerana dua rukun inilah menjadi tiang seri yang paling ampuh dalam pembentukan keluarga.

Persoalannya, adakah bercinta itu penting dan perlu sebelum berumahtangga??.  

Jawabnya : perasaan tersebut perlu ada dalam hati kedua-dua bakal suami isteri, tetapi tidaklah membawa kepada wujudnya pergaulan atau melanggar batas-batas yang telah ditetapkan oleh Syariat Islamiah seperti membuat "dating" dan lain-lain lagi.

`Tanggungjawab` 

Bakal suami isteri perlu mengetahui bahawa rumahtangga suatu tanggungjawab yang perlu dipikul bersama. Ahli falsafah menyatakan bahawa cinta adalah suatu perasaan yang dimiliki oleh semua manusia, laksana getah-getah yang ada di pokok-pokok getah atau madu-madu yang ada di pokok bunga. Maka perasaan  ingin menyayangi dan ingin disayangi itu bersebati dalam diri manusia semenjak dia dikeluarkan dari perut ibunya. Pasangnya sukar dibatasi apabila perasaan tersebut melodak di dalam jiwa, surutnya sukar digumbai apabila perasaan dingin menguasai diri dari jiwa manusia yang kecewa terhadapnya. Secara fitrahnya manusia yang kecewa terhadap cinta akan bermuhasabah terhadap harga dirinya. Kadang-kadang muhasabah itu mengajar bertindak dengan cara yang betul, dan kadang-kadang pula ia menghalakan manusia ke arah yang memusnahkan. Manakala manusia yang dilodaki oleh perasaan tersebut pula akan merasa gembira dan riang sehingga membolehkan dia membuat suatu perubahan yang besar dalam dirinya sama ada ke arah baik atau sebaliknya. Ini bererti alam percintaan adalah suatu jambatan yang mengubah masa depan manusia yang merentasinya. Oleh itu, alam percintaan adalah suatu persediaan  untuk mengenali dan memahami erti tanggungjawab.

Manusia yang bercinta sentiasa menghadapi tekanan saraf dan perasaan. Sewajarnya manusia yang melalui perkara tersebut belajar menghayati erti pengorbanan. Sekiranya seorang lelaki yang mencintai perempuan tetapi dia tidak sanggup berkorban untuk perempuan tersebut maka cinta yang dilafazkannya adalah palsu dan penuh kepura-puraan, Perempuan yang cerdik tidak boleh mempercayai lelaki yang sebegitu dan demikianlah sebaliknya. Ahli Hukama` menegaskan : "nilailah harga kasih sayang pasanganmu itu melalui pengorbanannya bukan melalui ungkapan bicaranya".

Lantaran itu kita mendapati realiti kehidupan sentiasa mencatatkan pasangan yang mampu mencapai hakikat kebahagiaan ialah manusia yang berkahwin untuk mendidik, manakala manusia yang berkahwin berdasarkan fantasinya semata-mata seringkali menemui kemusnahan dalam pembentukan rumahtangga. 

`Ganjaran Dari Allah` 

Perkahwinan adalah suatu sunnah dari Rasulullah s.a.w. dan nabi-nabi sebelumnya. Suatu perkara yang perlu dikaji akan hikmah percintaan yang dilakukan oleh Baginda s.a.w ialah Baginda menyarankan kepada bakal-bakal suami untuk mencari gadis-gadis untuk dikahwini tetapi beliau sendiri memperisterikan perempuan-perempuan janda, hanyalah Aisyah r.a seorang sahaja yang masih gadis ketika dikahwini. Hal ini tentulah menggambarkan kepada kita tentang persediaan pengorbanan dan menyempurnakan tanggungjawab yang telah ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w sebelum melalui gerbang perkahwinan.

Rasulullah s.a.w telah menerangkan bahawa di antara golongan yang mendapat dua ganjaran pahala ialah seorang yang memerdekakan hambanya lalu mengahwininya. Al-Mawardi menyebut di dalam kitabnya (peradaban dunia dan agama): adalah baik bagi seseorang mencari pasangannya dengan tujuan menolong dan membantunya, kerana perkara ini akan mematangkannya untuk menjalankan tanggungjawab dan berkorban setelah berumahtangga kelak. 

`Fantasi Dan Khayalan`

Sebelum berkahwin manusia seringkali mengkhayalkan belaian-belaian dan pujuk rayu pasangannya, padahal gambaran khayalan itu hanyalah berlaku dalam jarak masa yang singkat berbanding dengan liku-liku perjuangan yang terpaksa ditempuhinya. Perkara ini adalah lumrah semulajadi semua manusia. Tanpa kawalan agama ianya akan menjerumuskan manusia melakukan kerja-kerja keji sama ada dihadapan khalayak ramai atau ketika berseorangan. Manusia yang tiada matlamat hidup seperti golongan barat, sebagaimana yang ditonjolkan dalam media massa akan cuba memanjangkan tempoh fantasi ini sekalipun ianya bukanlah suatu yang boleh berpijak di alam  nyata. Lantaran itu kehidupan mereka akan menjadi musnah dan kebahagiaan yang dikhayalkan itu bukan dapat dicapai sekali-kali. Masyarakat Islam sepatutnya mestilah mempelajari panduan-panduan hidup yang kuat agar dapat membersihkan diri daripada anasir-anasir yang boleh memusnahkan diri. Sewajarnya masyarakat kita menjadikan perjalanan-perjalanan untuk bekas-bekas bohsia sebagai pengajaran yang disempadani, bukannya untuk melonjak-lonjakkan nafsu syahwat yang menghancurkan pula masa depan mereka sendiri.

0 comments:

Post a Comment